Friday 30 March 2012

APA ITU KESESAKAN LALU LINTAS



Isu kesesakan lalu lintas di kawasan bandar merupakan satu fenomena dan isu yang global dan keadaan ini telah menyebabkan berlakunya gangguan dan implikasi terhadap persekitaran manusia dan persekitaran fizikal serta psikologi pengguna lalu lintas itu sendiri. Masalah kesesakan lalu lintas sering dianggap sebagai virus kepada perkembangan bandar. Walaupun diketahui umum bahawa kesesakan lalu lintas ini memberikan implikasi terhadap pengguna lalu lintas itu sendiri, namun mereka kelihatan lali dalam menghadapi situasi kesesakan lalu lintas saban hari bagi meneruskan kehidupan dan rutin harian mereka kerana kebanyakan daripada penduduk bekerja di kawasan bandar. Kesesakan akan berlaku secara teruk dan kompleks dan menjadi meruncing pada waktu puncak iaitu pada pukul 7.00 hingga 9.00 pagi dan pada pukul 4.30 hingga 7.00 malam pada waktu bekerja dan pada musim-musim tertentu terutama semasa cuti perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Pada masa tersebut, penduduk di kawasan bandar akan pulang ke kampung dan dapat dilihat jalan raya pada waktu tersebut sangat sibuk. Dengan adanya pengalaman dan pemerhatian diri sendiri, dapat membuktikan dengan sendiri mengenai fenomena tersebut dengan melihat pada waktu yang sama dalam cuti umum seperti pada hari ahad dan waktu cuti persekolahan. Pada waktu cuti, iaitu pada jam yang sama semasa waktu puncak pada hari bekerja, dapat dilihat keadaan di jalan raya adalah lengang, kurang kenderaan dan tidak sesak seperti hari bekerja iaitu pada hari isnin hingga jumaat ataupun hingga sabtu.
Kesesakan lalu lintas merupakan satu fenomena yang normal jika dikaitkan dengan pengangkutan terutamanya di kawasan bandar. Kesesakan merupakan antara permasalahan yang melibatkan jalan raya. Kebiasaannya, kesesakan terjadi di jaringan pengangkutan daratan yang melibatkan jalan raya.
Perkataan kesesakan merupakan perkataan terbitan dan berasal daripada perkataan sesak. Sesak mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat (2007) bermaksud tidak lapang iaitu tidak lega, tidak longgar atau sempit, terlalu penuh sehingga tidak ada ruang lagi, tumpat yang merujuk kepada penumpang di dalam kenderaan, tersumbat ataupun tersekat perjalanan nafas, sendat, senak ataupun susah. Lalu bermaksud berjalan ataupun melintas, boleh masuk, telus atau lulus atau yang sudah lepas. Lintas pula bermaksud lalu dengan cepat dan bahagian dari jalan kereta api iaitu dari satu tempat ke tempat yang lain. Kesesakan lalu lintas boleh dirumuskan sebagai keadaan yang sesak, sempit dan tersekat dalam perjalanan di tempat yang selalu boleh jalan dengan cepat dan pantas.
Laporan Managing Urban Traffic Congestion (2007) menyatakan bahawa kesesakan lalu lintas merujuk kepada fenomena fizikal yang berkaitan dengan perilaku atau keadaan kenderaan yang menghalang pergerakan antara satu sama lain dengan tujuan untuk mendapatkan ruang yang terhad di jalan raya yang mencapai kapasiti yang maksimum. Kesesakan juga merujuk kepada fenomena relative berhubung dengan jangkaan prestasi perkhidmatan system jalan raya vis-a-sis (berjaringan).
Kesesakan juga ialah ketidakupayaan untuk bergerak (immobility). Kesesakan merupakan fenomena dimana barisan panjang kenderaan yang bergerak secara perlahan-lahan atau berhenti di lebuhraya Bandar, lebuhraya pinggir Bandar ataupun jalan-jalan di Bandar. Kesesakan boleh berlaku setiap hari pada waktu yang sama pada lokasi yang tertentu yakni disebut sebagai kesesakan berulang-ulang atau semasa berlaku kemalangan jalan raya atau terdapatnya sebarang penyelenggaraan iaitu kesesakan tidak berulang. Kebiasaannya, kesesakan berlaku apabila system jalan raya tidak dapat menampung isipadu trafik pada kelajuan yang memadai, terdapatnya konflik di antara pelbagai jenis trafik seperti kereta, trak, bas atau pejalan kaki dan kawalan trafik yang tidak digunakan dengan cekap. Penumpuan jalan, penurunan kapasiti secara tiba-tiba, pergerakan yang tersekat atau peningkatan geseran turut mendorong kepada peningkatan kesesakan lalu lintas (Rahim F.(Ray), 1997).
Selain itu, menurut Daniel Mohamed (1993), kesesakan berlaku disebabkan oleh barisan kenderaan menjadi panjang di sepanjang perjalanan dan kenderaan tidak dapat bergerak dengan lancer disebabkan halangan tertentu. Antara bentuk-bentuk halangan yang wujud ialah persimpangan dan lampu isyarat yang mempengaruhi kelengahan, kemalangan jalan raya, banjir kilat dan juga penyelenggaraan jalan raya.
Menurut Bruton (1982), kesesakan lalu lintas boleh menimbulkan ketidakselesaan dan masalah emosi (marah, runsing dan tekanan fikiran) yang boleh mengganggu penumpuan pemandu di jalan raya dan seterusnya menyebabkan kejadian kemalangan. Kepadatan pergerakan kenderaan boleh juga menyebabkan berkumpulnya bahan pencemaran daripada ekzos kenderaan dalam ruang bandaraya. Kepadatan pergerakan kenderaan berlaku apabila orang ramai mempunyai destinasi yang sama. Masalah kebolehsampaian kenderaan ialah kerana pertambahan pergerakan kenderaan yang tidak lancer dan kelemahan infrastruktur jalan raya. Selain itu, kurangnya laluan trafik yang sistematik yang menimbulkan konflik antara pejalan kaki dengan kenderaan bermotor dan antara kenderaan dengan kenderaan sendiri.

APA ITU PENGANGKUTAN???


Pengangkutan boleh didefinisikan sebagai suatu konsep cara pemindahan daripada suatu tempat ke tempat yang lain (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007). Pengangkutan terbahagi kepada beberapa jenis iaitu pengangkutan melalui jalan darat, pengangkutan melalui jalan air dan pengangkutan melalui jalan udara.
Menurut Katiman Rostam (2002), pengangkutan dapat diertikan sebagai suatu cara memindahkan barangan atau penumpang. Konsep pengangkutan boleh dikaitkan dengan nilai wang sekiranya ia digunakan bagi menjelaskan kos dan ia juga boleh dikaitkan dengan ruang jika ia digunakan bagi menjelaskan aspek lokasi. Pengangkutan mempunyai sistem yang tersendiri dan terdapat cirri dan pengaruh yang berbeza ke atas setiap kegiatan ekonomi penduduk. Sistem pengangkutan tersebut ialah sistem kereta api, jalan air, jalan raya atau kereta motor, pengangkutan jalan udara, saluran paip dan kaedah pengangkutan yang lain seperti hovercraft.
Pengangkutan jalan raya boleh dianggap baru dan kemajuan yang pesat di Amerika Utara, Eropah dan Jepun kerap menimbulkan masalah kesesakan lalu lintas. Kemajuan dalam pembinaan jalan raya terhadap pembangunan ekonomi hanya menjadi ketara sejak empat dekad lalu. Kemajuan dalam bidang pembinaan lebuh raya menggalakkan penggunaan trak dan lori tangki bagi mengangkut barangan jenis berat dan pukal. Bagaimanapun, hanya muatan barangan yang ringan, mudah rosak dan memerlukan penghantaran segera sahaja yang lebih sesuai bagi pengangkutan dengan trak menggunakan jalan raya terutamanya bagi jarak angkutan yang pendek.